Masalah penglihatan punca rempuh SJR

0
2

MASALAH penglihatan didakwa menjadi punca seorang lelaki merempuh sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum ditahan polis di Kampung Bintang di Setiu, Terengganu, semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, berkata, soal siasat terhadap lelaki berusia 59 tahun beralamat Kuala Krai, Kelantan itu turut mendapati lelaki itu masih mendapat rawatan di Hospital Kota Bharu.

“Dia meletakkan ubat kepada matanya dan sempat berhenti rehat selama 15 minit sebelum memulakan perjalanan dari bandar Permaisuri, Setiu ke Kuala Krai, Kelantan,” katanya seperti dilapor BH.

Afandi berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.10 tengah hari semalam, lelaki itu yang memandu kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dari arah Bandar Permaisuri menghala ke Jertih, Besut merempuh sekatan jalan raya di hadapan Sekolah Kebangsaan Bintang.

“Kemalangan berkenaan menyebabkan tiga kon polis dan satu lampu visi flash rosak dan ketika kejadian terdapat tiga anggota polis dan dua anggota tentera sedang bertugas.

“Hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai kebenaran untuk merentasi daerah dan negeri atas tujuan perniagaan. Tiada apa-apa barang salah dijumpai pada kenderaan dan badan suspek.

“Dia bekerja sebagai pegawai pemasaran menjalankan perniagaan membeli dan menjual daging beku yang diambil dari Kuantan untuk dijual di Kelantan,” katanya.

Beliau berkata, hasil ujian air kencing negatif serta hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Lelaki itu dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan / 26(2) Akta Polis 1967,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here