SELEPAS beberapa hari ‘hilang’ susulan kontrovesi, pelawak Shuk Sahar malam tadi memua naik video bertemu dengan dua anak perempuannya iaitu Nur Qurratu Ain, 4, dan Nur Assyifatu Aimi, berusia setahun untuk melepas rindu.
Dalam video pendek berdurasi satu minit dan 20 saat yang dimuat naik Shuk di Instagram, jelas kelihatan dia sebak sebaik melihat dua anak yang masih kecil berlari ke arahnya. Ketika mendukung dan mencium anak-anaknya, mereka mengakui sangat rindu dan menyayangi bapanya itu.
“Setiap orang melakukan kesalahan dan ini adalah kesilapan dan kesalahan saya.
“Ya, bukan senang dan bukan mudah untuk jernihkan air yang telah keruh. Apapun, saya sanggup demi dapatkan balik keluarga dan kebahagiaan saya,” katanya menerusi hantaran berkenaan.
https://www.instagram.com/p/CKjPCE6D49j/
Terdahulu, isu pergolakan semula rumah tangga Shuk dan isterinya, Rossalennah Natassiah Asshaferah tular di media sosial berikutan pendedahan berani dibuat Rossalennah yang mendakwa suaminya curang.
Menerusi beberapa perkongsian hantaran yang dimuat naik Rossalennah di Instagram, dia mendedahkan Shuk masih lagi menjalin hubungan bersama wanita lain.
Rossalennah juga mendakwa suaminya itu masih mempunyai hubungan dengan wanita sama yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.
Susulan kes berkenaan, Isnin lalu pihak pengurusan stesen radio Hot FM mengesahkan bahawa perkhidmatan Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar digantung serta merta sebagai penyampai radio stesen itu
Dalam kenyataan dikeluarkan, memberitahu penggantungan sementara perkhidmatan Shuk adalah bagi memberi ruang kepada pihak pengurusan untuk melakukan siasatan dalaman berkaitan isu peribadi membabitkannya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

