Bos Susu akui hanya pegang saham kecil dalam Farm Fresh

0
1

KETUA Pegawai Operasi dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh, Azmi Zainal mengakui mempunyai pegangan saham yang kecil dalam syarikat tenusu berkenaan.

Usahawan itu menerusi Facebook miliknya berkata, mustahil bagi orang yang biasa jatuh dalam perniagaan dan hanya berniaga di pasar malam mempunyai wang yang banyak untuk memiliki saham yang besar.

Katanya, pelaburan dalam industri tenusu membabitkan ratusan juta ringgit dan nilai syarikat itu hanya meningkat selepas 11 tahun atas usaha keras semua pihak.

“Alhamdulillah nilai share yang kecil tu jadi banyak jutanya. Syukur ke hadrat Allah yang mengeluarkan aku dari kesusahan.

“Berpanas berhujan berniaga, ditengking, menitik peluh bawa lori hantar susu ke supermarket. Ni semua kerana saya tak belajar betul-betul apatah lagi sebab saya tak belajar di Australia,” katanya.

Azmi yang dikenali sebagai Bos Susu berkata dalam perjalanan perniagaan bersama Farm Fresh, bohonglah kalau beliau mengatakan bukan ringgit yang dikejar.

“Tetapi bagi saya kejayaan paling besar ialah mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat malaysia. 634 peluang pekerja dapat kami berikan dan ramai anak-anak luar bandar di Muazam mendapat manfaatnya.

“Bukan setakat jadi operator atau jaga lembu, tetapi ramai yang kami angkat menjadi tenaga kerja professional, kami latih, kami didik mereka,” katanya.

Beliau berkata, membuka kilang di pendalaman banyak kekurangannya kerana pengurus atau jurutera yang profesional kurang berminat untuk bekerja dan tinggal di pendalaman.

“Beberapa kali kami cuba bawa mereka dan tawarkan gaji tinggi, mereka cabut kerana mereka tidak biasa hidup di luar bandar. Apalah lagi pilihan yg kami ada, kami latih anak Muazam yang berbakat untuk menggalas tugas ini.

“Alhamdulillah mereka semakin bagus dan komited utk membangunkan syarikat serta tempat lahir mereka. Dan 80 peratus dari mereka adalah Melayu Islam, bangsa saya dan bukan bangsa Australia,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial syarikat Farm Fresh membeli IXL di Australia dan menjadi pendebatan warga maya apabila terdapat beberapa nama individu lain yang bukan Bumiputera dalam senarai pengarah syarikat tenusu berkenaan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here