Nurul Huda Abhar
PRESIDEN Penyatuan Ummah Malaysia, Ahmad Husam Baderudin menafikan beliau mempersendakan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan menggelar mereka ‘anak haram’.
Menerusi hantarannya di Facebook (FB), Ahmad Husam memberitahu individu yang sengaja mengubah video ceramahnya dan menularkannya di media sosial telah mengaku salah.
“Petang tadi, saya menerima panggilan telefon daripada seorang pemuda…apabila memperkenalkan diri, beliau terus menangis.
“Beliau bercerita panjang mengenai beliau salah seorang yang bertanggungjawab menularkan yang diedit berkaitan isu ‘RELA’.
“Saya minta beliau tuliskan WhatsApp kepada saya agar mesej ini dapat sampai kepada orang ramai,” katanya hari ini.
Ahmad Husam berkata, terdapat nasihat daripada rakan-rakannya yang meminta beliau mengambil tindakan undang-undang di atas perkara yang berlaku.
Katanya, dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan dan hanya ingin membuat penjelasan sebenar berkenaan dengan video yang tular itu.
“Di sini juga, saya sertakan contoh fitnah yang berleluasa…saya tidak menghalang anda yang ingin teruskan menyebar fitnah ini, cuma saya mohon maaf jika nama-nama anda terselit masuk dalam doa saya.
“Setiap kali selepas solat saya akan berdoa kepada Allah minta Dia yang uruskan…saya yakin balasan Allah pasti sampai sama ada cepat atau lambat.
“Lihatlah sendiri kesudahan daripada ‘sebuah fitnah’ kadang-kadang Allah tidak balas kepada kita secara terus, mungkin orang yang kita sayang menjadi mangsanya,” katanya lagi.

Ahmad Husam juga memuat naik tangkap layar petikan berita sebuah portal yang mengecam tindakannya berikutan video yang tular itu.
Semakan terkini Malaysiapost mendapati hantaran tersebut mendapat hampir 500 perkongsian pengikut FB.
Rata-rata pengikut FB beliau menulis bahawa wujud salah faham berkaitan dengan perkataan yang digunakan semasa ceramah itu, dan menganggap ianya adalah kata-kata kasar. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

