POLIS menumpuskan sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 untuk warga asing susulan penahanan dua lelaki warga Pakistan, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Imran Abd Rahman, berkata kegiatan itu terbongkar apabila polis menahan dua suspek di KLIA ketika ingin pulang ke negara asal.
Beliau berkata, dua lelaki yang berusia 28 dan 37 tahun itu ditahan pada 20 Januari selepas didapati mengemukakan dokumen palsu keputusan ujian saringan Covid-19 di kaunter daftar masuk KLIA untuk berlepas pulang menggunakan penerbangan Emirates.
Katanya, susulan penahan dua lelaki itu, polis mendapat maklumat dan mengesan seorang lelaki warga Pakistan berumur 20-an pada 22 Januari di Telok Gong, Klang, dipercayai ejen sindiket berkenaan.
Katanya, hasil soal siasat, polis menahan seorang lagi lelaki warga Pakistan yang berusia 42 tahun, juga ejen sindiket itu di kediamannya di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru.
“Hasil soal siasat terhadap dua ejen yang ditahan, polis berjaya menahan seorang warga Pakistan berusia 27 tahun pada 25 Januari di Sri Petaling.
“Suspek disyaki perancang sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian Covid-19, dikenali sebagai Gang Habib,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Polis turut merampas sejumlah telefon bimbit, komputer riba, komputer, mesin pencetak, barang kemas, wang tunai berjumlah RM13,000 dan 12 keping dokumen palsu keputusan ujian saringan Covid-19.
Imran berkata, sindiket berkenaan disyaki beroperasi sejak Ogos tahun lalu dengan menggunakan orang tengah bagi mendapatkan pelanggan dalam kalangan warga Pakistan.
Katanya, sindiket itu menggunakan pelbagai nama hospital swasta dan makmal dengan mengenakan bayaran RM300 kepada pelanggan.
“Semua suspek ditahan di IPD KLIA untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan.
“Polis memandang serius isu pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 kerana ia membahayakan kesihatan orang ramai dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyalahi undang-undang,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan:

