Nurul Huda Abhar
KERAJAAN akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Transit Tahanan (PTP) yang melibatkan Blok Pusat Latihan Pegawai Penjara, Zon 2 dan Zon 3 Penjara Marang, Terengganu.
Perlaksanaan PKPD tersebut bermula 28 Januari sehingga 10 Februari 2021.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 26 Januari 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 1,262 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 98 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“Bagaimanapun, kesemua kes positif ini hanya melibatkan tahanan yang ditempatkan di Pusat Transit Tahanan (PTP).
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti.
“Prosedur operasi standard (SOP) PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, kerajaan turut bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Pusat Koreksional Dungun dan Kuarters Kakitangan bermula 28 Januari 2021 sehingga 10 Februari 2021.
Ismail Sabri berkata, ini berikutan KKM melaporkan situasi peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak di lokaliti tersebut.
Katanya, sehingga semalam, KKM telah melaksanakan 1102 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 99 kes positif Covid-19 telah direkodkan yang melibatkan 92 tahanan, 2 kakitangan dan 5 kontak rapat.
“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua tahanan, kakitangan dan kontak rapat yang terlibat untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti,” katanya. -Malaysiapost
Artikel berkaitan :

