PdPR: Najib saran guna dana USP selesai masalah kekurangan komputer

0
3
Pix via Malaysiapost

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) disaran menggunakan dana Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP) dalam menyelesaikan masalah kekurangan komputer bagi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Cadangan itu disuarakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa penggunaan dana USP yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) adalah lebih baik daripada menggunakan tabung simpanan rakyat seperti Kumpulan Wang Simpanan Kerja (KWSP) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) untuk tujuan perkara berkenaan.

“Yang perlu komputer sekarang, berjuta-juta murid sekolah. Yang diberi komputer pula, cuma 150,000? Dana dari tabung simpanan rakyat sendiri pulak!

“Kos bagi 2 juta komputer bersama pakej internet setahun dianggarkan sebanyak RM2 bilion.

“Cara ini jauh lebih adil, lebih memanfaatkan dan lebih menyeluruh berbanding rancangan kerajaan PN sekarang untuk memaksa tabung simpanan rakyat seperti KWSP dan PNB menyumbang dana kepada skim pemberian 150,000 komputer bernilai RM150 juta,” katanya di Facebook.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, USP diwujudkan pada zaman kerajaan Barisan Nasional (BN) di mana setiap syarikat pengendali telekomunikasi akan memberi sumbangan kira-kira RM2 bilion pada setiap tahun.

Tambah Najib, dana USP telah digunakan ketika beliau berkuasa menjadi Perdana Menteri untuk membantu meringankan beban rakyat.

“Cara ini juga yang pernah digunakan kerajaan BN dahulu untuk memberi sekitar 1.7 juta netbook 1Malaysia semasa saya PM. Dana juga dari tabung SKMM.

“Tahun 2022 belum sampai lagi maka peruntukan dari tabung SKMM tersebut boleh diagihkan pada tahun ini untuk memberi 2 juta komputer serta pakej internet percuma untuk setahun kepada murid-murid sekolah yang terpaksa menjalani PdPR akibat pandemik Covid-19,” tulisnya.

Pada masa sama, Najib juga memberi cadangan bagaimana USP dipulihkan kembali selepas dijarah sebanyak RM21. 6 bilion oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk projek mega gentian optik yang hanya menguntungkan kroni Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Projek tersebut dilancarkan sepantas kilat oleh PH dalam masa kurang setahun mereka mentadbir di mana antara penerima manfaat terbesar projek merupakan syarikat Opcom milik anak-anak PM4/7/7i.

“Untuk pulihkan tabung SKMM tersebut untuk membiayai kos projek NFCP bagi tahun 2022, kerajaan PN boleh pertimbangkan untuk menjual spektrum 5G secara open tender seperti dibuat negara-negara lain.

“Sebagai contoh, open tender spektrum 5G di Amerika Syarikat dianggarakan akan bernilai US$78 bilion,” catat Najib.

Najib juga berkata, sebelum kerajaan BN tumbang pada PRU-14, dana USP berbaki sebanyak RM8 bilion.

Namun, selain dijarah PH, Najib berkata, dana USP juga telah digunakan oleh kerajaan PN di mana sejumlah RM7.4 bilion akan diperuntuk SKMM untuk memperluas perkhidmatan jalur lebar bagi 2021 dan 2022.

“Open tender bagi spektrum 5G Malaysia kali ini adalah satu keperluan sebab kekuatan kewangan kerajaan dan Petronas sudah terjejas akibat tempoh gagalkrasi PH yang tambah hutang negara pada kadar paling laju sekali berbanding BN dan menjarah rizab RM176 bilion Petronas ditinggal kerajaan BN dan juga akibat penggunaan kerajaan PN untuk melawan Covid pada keadaan pelaburan asing diterima Malaysia menjadi paling corot dalam ASEAN.

“Buatlah cara ini serta merta sebab saya percaya dana dalam Tabung USP ini masih ada.

“Syarikat-syarikat telco juga tidak akan membantah kuat sebab mereka berpeluang menaikkan pendapatan dengan tambahan 2 juta pelanggan pakej internet yang diberi bersama komputer,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here