KESAN besar pandemik Covid-19 kepada ekonomi negara yang membabitkan perniagaan Bumiputera merupakan antara isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat pertama Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa tindakan intervensi strategik amat diperlukan bagi membantu golongan berkenaan meraih peluang ekonomi dalam sektor berdaya maju dan mempunyai nilai tambah yang tinggi.
“Insya-Allah, mereka yang diberikan amanah di dalam MKB, JPMKB dan JKMKB mampu mencetuskan idea bernas untuk membolehkan tindakan intervensi yang strategik dan tepat diambil demi memastikan ekonomi Bumiputera terus berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya menerusi Facebook.
Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat pertama MKB yang diadakan secara persidangan video.
Beliau berkata, MKB merupakan platform untuk kerajaan memperkasakan sosioekonomi Bumiputera dengan sasaran lonjakan pembangunan keusahawanan berganda di pelbagai peringkat.
“Usaha ini akan diterajui oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) selaku agensi penyelaras utamanya. Mesyuarat juga mengesahkan penubuhan MKB dari segi keahlian serta terma rujukan.
“Turut diperakukan penubuhan Jawatankuasa Pemandu Majlis Kemakmuran Bumiputera (JPMKB) dan Jawatankuasa Kerja Majlis Kemakmuran Bumiputera (JKMKB), yang masing-masing akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Ketua Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman,” katanya.
Menurutnya, MKB dianggotai oleh 17 Menteri Kabinet di samping tokoh Bumiputera dalam pelbagai sektor perniagaan, ekonomi dan pendidikan.
“Antaranya, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Tan Sri Azman Mokhtar; Datuk Dr Mohd Karim Abdullah; Tan Sri Dr Rafiah Salim; Datuk Azrin Mohd Noor dan Kamarul Azman Muhamed,” katanya. -Malaysiapost

