PRESIDEN Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mempersoalkan kredibiliti kerajaan Perikatan Nasional dalam isu pengurusan vaksin Covid-19 yang dianggap lambat diterima berbanding negara lain.
Beliau berkata, perkara itu amat menghairankan, sedangkan Malaysia lebih menonjol dalam hubungan antarabangsa namun dalam keadaan sekarang negara kita nampaknya ketinggalan.
“Januari hampir berlalu, Februari akan tiba. Tetapi vaksin belum ada kepastian tarikh akan tiba untuk kegunaan rakyat Malaysia,” katanya menerusi Facebook.
Mohamad berkata, keadaan pandemik Covid-19 ini juga semakin membarah dan keyakinan rakyat kepada kerajaan semakin terhakis.
“Oleh itu, salah satu usaha untuk meredakan pandemik ini adalah dengan melalui vaksin.
“Namun Malaysia agak terkebelakang. Ketika negara negara jiran seperti Singapura dan Indonesia, bahkan negara negara Afrika seperti Mesir telah menerima Vaksin, Malaysia belum ada khabar berita.
“Sedangkan parlimen telah meluluskan berbilion ringgit untuk pembelian vaksin sejak tahun lalu,” katanya.
Selain pengurusan vaksin, beliau turut menyentuh soal ekonomi negarah yang disifatkan berada dalam tahap yang agak kritikal.
Mohamad memberikan contoh, hotel Equatorial di Pulau Pinang yang bertaraf lima bintang telah mengeluarkan notis akan menutup operasinya pada Mac 2021.
“Banyak lagi hotel-hotel di sekitar Kuala Lumpur yang sudah tidak mampu beroperasi.
“Ia petanda sektor perniagaan di negara kita semakin runcing kerana hotel-hotel ini biasanya digunakan oleh kelompok ini untuk mengadakan sebarang program, pertemuan dan sebagainya.
“Perniagaan kecil dan sederhana pula berhempas pulas untuk terus beroperasi tetapi kerajaan seolah-olah tidak mampu meyakinkan rakyat bagi menghadapi situasi pandemik ini,” katanya-Malaysiapost

