NACSA keluar notis amaran, cegah laman web kerajaan digodam

0
2

Nurul Huda Abhar

AGENSI Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan notis amaran kepada semua agensi kerajaan untuk mengambil langkah bagi mencegah dan meminimumkan impak ancaman serangan menggodam laman web kerajaan.

MKN dalam kenyataan media berkata, NACSA, MKN juga sedang berkerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengkoordinasi dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

“MKN, Jabatan Perdana Menteri (JPM) melalui NACSA, MKN memandang serius berkenaan ancaman untuk menggodam laman web kerajaan menerusi penularan satu video yang dikeluarkan oleh ‘Anonymous Malaysia’ di platform media sosial baru-baru ini.

“Kerajaan amat mengambil berat dan memberi keutamaan terhadap keselamatan infrastruktur teknologi maklumat kerajaan, serta sistem-sistem kritikal negara dengan menggariskan tindakan-tindakan pengukuhan sistem teknologi maklumat, termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai-pegawai yang berkaitan,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu, tindakan tersebut jelas digariskan menerusi Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang dilancarkan pada bulan Oktober 2020 lalu.

“Di mana strategi ini menggariskan tindakan-tindakan bagi mengukuhkan sistem ICT kerajaan serta sistem-sistem kritikal negara termasuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pegawai-pegawai yang berkaitan,” katanya lagi.

Terdahulu, kumpulan penggodam terkenal, Anonymous Malaysia (Anonymous) kembali muncul dengan sebuah mesej amaran yang ditujukan kepada kerajaan Malaysia.

Menerusi satu video berdurasi 2.29 minit yang dikongsikan melalui akaun Facebook Anonymous Malaysia semalam, mereka mendakwa tahap keselamatan siber negara berada di tahap yang rendah dan berisiko kepada berlakunya kes kebocoran data.

Kandungan video itu turut menyenarai beberapa kes antaranya seperti kebocoran data oleh syarikat telekomunikasi negara pada 2017 yang melibatkan sebanyak 46 juta nombor telefon bimbit pengguna di Malaysia.

Namun, sehingga kini video tersebut masih belum dipastikan kesahihannya.
-Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/12/akaun-twitter-skmm-digodam/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here