Desak presiden berundur bukan budaya Umno – Tok Mat

0
2
Datuk Seri Mohamad Hasan

Nurul Huda Abhar

TIMBALAN Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan tindakan mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur sebagai Presiden sebagai budaya tidak sihat yang muncul kebelakangan ini dalam parti tersebut.

Katanya, pelbagai kain rentang dan sepanduk dengan perkataan nista dan kurang sopan yang digunakan dalam desakan itu bukan budaya dan nilai Umno, malah bukan adab dan susila sebagai orang Islam dan Melayu.

“Pesan saya, janganlah sesekali kita terkurang hormat kita kepada institusi Presiden, yang wajar disantuni dengan sopan dan tata susila sebaiknya,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.

Mohamad Hasan berkata, perbezaan pandangan, aspirasi dan citra tidak mengapa kerana Umno itu nilainya demokratik, tetapi jangan sampai ia membawa kepada sengketa yang akhirnya memecah-belahkan parti.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau memetik pepatah Melayu berpesan “Menurut Biar Berakal, Menentang Biar Beradab” sebagai teguran kepada situasi yang berlaku dalam Umno kini.

Sementara itu, beliau meminta semua kepimpinan dan ahli kembali kepada kesatuan parti dan jangan memberi peluang kepada lawan untuk meretakkan Umno yang membawa kepada perpecahan.

“Jangan sesekali kita membuka ruang untuk persahabatan dan setiakawan dalam Umno diadu dumba, sehingga kita menjadi berseteru antara satu sama lain.

“Tiada siapa yang untung atas perpecahan Umno dan tiada siapa juga akan menang. Sama lebur sama binasa.

“Kekhuatiran saya ialah akhirnya, yang akan menjadi korban ialah Umno dan bangsa Melayu,” ujarnya lagi.

Beliau juga meminta semua ahli dan kepimpinan bangunkan era baharu untuk Umno dengan kesatuan dan muafakat.

Katanya, era baharu itu di mana parti diperkuatkan dengan iltizam untuk memperjuangkan kepentingan Malaysia, Melayu, Islam dan demokrasi sebagai keutamaan dalam semua yang utama.

“Dan akhirnya, era di mana Umno dihormati sebagai jurucakap sebenar rakyat dan bangsa Melayu dan bukannya parti yang rakus dengan kuasa dan kedudukan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here