‘Kenapa nak ulang benda yang telah gagal?’ – Najib

0
1
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat kurang senang dengan cadangan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang enggan menyambung perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berakhir 4 Februari ini.

Menerusi hantaran di Facebook, Najib melahirkan kebimbangan dengan langkah kerajaan yang bakal melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) setelah PKP berakhir.

“Jika kita hentikan PKP dan melaksanakan semula PKPB yang terbukti telah gagal sebelum ini, adakah kita akan menghadapi PKP 3.0 sekali lagi pada masa depan?.

“Kenapa nak ulang benda yang telah gagal memandangkan kerajaan menyasar 70 peratus penduduk Malaysia hanya akan menerima vaksin pada akhir tahun 2021?,” soal Najib.

Menurut Najib, perlaksanaan PKPB sebelum ini di beberapa negeri telah terbukti gagal membendung jangkitan wabak pandemik Covid-19 sehingga kerajaan terpaksa melaksanakan semula PKP pada 13 Januari lalu.

“Selepas PKP berakhir, mereka akan balik kepada perlaksanaan PKPB pula.

“Selangor, KL, Putrajaya, Sabah dan beberapa negeri lain sudah berada dalam PKPB sejak bulan Oktober lalu, iaitu lebih 3 bulan sebelum ianya diperakui telah gagal sehingga kita terpaksa melaksanakan darurat dan PKP pada bulan Januari.

Najib juga membidas cadangan itu kerana kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menaruh keyakinan bahawa kes harian jangkitan Covid-19 akan turun kepada dua angka setelah PKPB dilaksanakan pada musim perayaan Tahun Baru Cina.

“Malah, PKP tidak akan disambung pada 4 Februari selepas berjalan 23 hari supaya Tahun Baru Cina boleh disambut dengan harapan bahawa kes Covid baru setiap hari akan stabil pada paras 3,000 kes sehari pada hari itu sebelum menurun kepada angka 2 digit dengan perlaksanaan PKPB,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mempersoalkan adakah cadangan melaksanakan semula PKPB itu tidak memberi impak yang buruk kepada rakyat pada masa hadapan.

“Adakah banyak lagi sektor-sektor selain sektor pembinaan dan pembuatan seperti pelancongan, pendidikan swasta, pengangkutan swasta (seperti bas sekolah), sukan, ekspo, runcit dan sebagainya yang melibatkan jutaan rakyat tidak akan terkesan jika PKPB dilaksanakan secara berpanjangan.

“Adakah PKPB yang telah terbukti gagal mampu menurunkan jumlah kes baru melebihi 3,000 kes sehari sekarang kepada angka dua digit seperti dirancang kerajaan?

“Adakah ianya jauh lebih elok untuk kita buat PKP yang seketat-ketatnya tanpa kelonggaran kepada sektor-sektor pembinaan dan kilang-kilang untuk tempoh 2 hingga 4 minggu dengan bantuan kerajaan seperti PKP pertama tahun lepas untuk memberi kesan yang paling maksima terhadap penularan Covid tempatan.

“… agar rakyat tidak perlu menghadapi PKPB yang berterusan serta risiko PKP 3.0 akhirnya akan terpaksa dilaksanakan pada bulan-bulan mendatang?,” catat Najib.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKP seluruh negara kecuali Sarawak yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini, tidak akan dilanjutkan.

Menurut Dr Noor Hisham, keputusan itu diambil bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara susulan pelaksanaan PKP.

Justeru, Najib berharap kerajaan perlu memikirkan kesan yang lebih buruk bakal menimpa negara jika berhasrat tidak menyambung PKP ini.

“Bukan ke pengorbanan untuk seketika jauh lebih baik berbanding mudarat yang berpanjangan?

“Orang putih kata ‘short term pain, long-term gain’,” katanya. -Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here