Aplikasi MySejahtera dinaik taraf

0
2

APLIKASI MySejahtera akan dinaik taraf dengan menampilkan beberapa perincian baharu untuk membantu mengekang penularan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kanan Sektor Pengurusan Bencana, Wabak, Krisis dan Kecemasan Kementerian Kesihatan, Dr A Maheshwaran Roa.

Beliau berkata, aplikasi MySejahtera yang dimuat turun oleh 27,313,193 pengguna termasuk tanggungan ketika ini ialah versi 1.25.

Katanya, susulan perkembangan semasa dan program imunisasi yang bakal dijalankan, aplikasi berkenaan akan diberi ‘nafas baharu’ menerusi versi 1.26.

“Kita akan kemas kini dan ia akan dipaparkan menerusi versi baharu, iaitu 1.26 selari langkah memantapkan aplikasi MySejahtera,” katanya seperti dilapor BH.

Dr Mahesh berkata, MySejahtera Vaccination akan dilancarkan akhir bulan ini bagi memastikan proses pelalian kalangan penerima berupaya dikendalikan secara lancar.

Katanya, rangkaian proses seperti pendaftaran, jadual suntikan vaksin dan pemantauan akan dilaksanakan menerusi aplikasi berkenaan.

“Kita sarankan siapa yang belum muat turun aplikasi MySejahtera untuk berbuat demikian supaya apabila tiba pelaksanaan program vaksin, ia dapat dijalankan dengan lancar.

“Selain itu, kita dapat kendalikan proses pengesanan kontak dan penilaian kendiri dalam kalangan pesakit Covid-19, sekali gus memastikan tahap kesihatan mereka sentiasa terjamin.

“Bagi mereka yang positif, setiap maklum balas daripada laporan kendiri ini akan dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) bagi pemantauan harian.

“Setiap hari pada jam 9 pagi, mereka perlu menjawab soalan penting,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here