WALAPUN sudah mengagihkan lebih 200 komputer riba dan terbaru 120 lagi bakal diedar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui masih ramai lagi memohon komputer riba kepada beliau.
Menerusi hantaran di Facebook, Ahli Parlimen Muar itu berkata, bilangan keluarga yang memohon komputer riba meningkat sejak beberapa hari lalu namun beliau kekurangan sumber kerana peruntukan sebagai Anggota Parlimen telah dilucutkan kerana berada dalam pembangkang.
“Saya memohon kepada mereka yang berada dalam pemerintahan untuk menggunakan sumber yang ada untuk menyediakan komputer riba untuk mereka yang kurang bernasib baik.
“Belanjawan 2021 yang diumumkan mempunyai RM150 juta yang diperuntukkan untuk komputer riba tetapi kita belum melihat ada yang diedarkan setakat ini. Kelas sudah bermula, berapa lama pelajar mesti menunggu?,” katanya.
Beliau dalam itu memohon warga maya yang mempunyai cadangan bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk sama-sama berkongsi idea untuk menyelesaikan masalah itu.
“Kepada rakan-rakan saya yang membaca ini, tolong beri saya cadangan mengenai apa lagi yang boleh saya lakukan untuk mengumpul dana untuk golongan kurang mampu di Muar. Saya perlukan bantuan anda,” katanya.
Sebelum ini Pengasas Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu mencuri perhatian ramai apabila menerusi #BotakChallenge melancarkan kempen mengutip sumbangan membeli 100 komputer riba berjumlah RM200,000.
Hasil daripada kempen itu, 50 laptop berharga RM1,500 setiap satu telah diedarkan kepada pelajar-pelajar di sekitar Muar yang memerlukan. -Malaysiapost
Berita berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/01/22/syed-saddiq-cari-100-laptop-lagi/
https://malaysiapost.com.my/2021/01/17/botak-naik-bumblebee-hantar-komputer-riba/

