Bayar gaji atau pemain ‘angkat kaki’ – Peja

0
2

PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) perlu membayar gaji pemainnya yang tertunggak sehingga 7 Februari ini jika tidak mungkin ramai pemain ‘angkat kaki’ bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2021.

Bekas Presiden Pafa, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, berdasarkan kontrak terdapat klausa yang membolehkan pemain ‘angkat kaki’ ke pasukan lain jika tidak menerima gaji mereka sehingga tarikh berkenaan.

“Inilah yang saya bimbangkan berikutan keengganan Kerajaan negeri menghulur dana kepada Pafa kerana saya masih menjadi presiden.

“Saya bimbang pemain tonggak Perak akan dipancing pasukan lain. Jika itu berlaku tidak ada siapa boleh menahan mereka daripada pergi,” katanya baru-baru ini.

Ahmad Faizal atau Peja berkata pasukan itu akan rugi sekiranya pemain ‘lari’ ke pasukan lain kerana barisan pemain yang ada ketika ini mampu menjadi pencabar dalam liga musim ini.

“Berikutan itulah saya mengambil keputusan meletak jawatan cepat agar isu tunggakan gaji pemain dapat diselesaikan,” katanya.

Ahmad Faizal berkata, masalah kewangan Pafa muncul selepas beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar Perak sejak 5 Disember lalu.

“Sebelum ini kita mendapat sumbangan dari pihak swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk membiayai pasukan Perak.

“Namun bila sudah hilang kuasa tiada siapa sudi menghulur bantuan lagi. Minta pun orang tak mahu bagi. Telefon pun tidak jawab,” katanya.

Keadaan diburukkan lagi berikutan keengganan kerajaan negeri menghulur bantuan menyaksikan Pafa tidak dapat membayar gaji pemain dan pegawai sebanyak sebulan setengah iaitu separuh untuk bulan November dan untuk bulan Disember berjumlah kira-kira RM3 juta. -Malaysiapost

Berita berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here