KETUA Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyifatkan tindakan Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa mengumumkan kelulusan pedati Thaipusam sebagai ‘bodek’.
Menerusi hantaran di Facebook, Jamal berkata beliau bukan seorang perkauman namun tindakan membenarkan upacara berkenaan dikhuatiri menyebabkan penularan pandemik Covid-19.
“Saya bukan perkaumam, saya bukan anti agama selain Islam..cuma saya ada kebimbangan bertambah lagi C19 (Covid-19).
“Tahniah Menteri Wilayah..bodek jangan tak bodek,” katanya.
Terdahulu, Annuar memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meluluskan arca Dewa Murugan dibawa dari kuil ke Batu Caves sempena perayaan Thaipusam kali ini.
Katanya, ia akan dibawa dari kuil Jalan Bandar ke Batu Caves pada 27 Januari ini, dan kembali dari Batu Caves ke kuil Jalan Bandar, 29 Januari.
Bagaimanapun, beliau berkata, ia perlu mematuhi syarat dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melakukan pemantauan. -Malaysiapost
Berita berkaitan:

