Isu kuil Kedah: 2 Adun dipanggil beri keterangan

0
3

DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedah dipanggil polis bagi memberi keterangan Khamis lalu, berhubung kejadian perhimpunan di bekas tapak kuil di Stesen Kereta Api Alor Setar, tahun lalu. 

Dua Adun terbabit termasuk seorang bekas Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) kanan negeri, dipercayai menyertai perhimpunan pada 6 Julai 2020, bagi membantah perobohan kuil oleh pihak berkuasa. 

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata kedua-duanya disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012. 

Katanya, setakat ini hanya dua individu berkenaan dipanggil bagi memberi keterangan dan membantu siasatan kes yang masih dijalankan. 

“Siasat mengikut Seksyen 5 APA 2012 kerana terbabit dalam satu perhimpunan di bekas tapak kuil dekat Stesen Kereta Api Alor Setar. 

“Setakat ini dua orang dipanggil membantu siasatan. Mereka dipanggil untuk siasatan lanjut berkaitan perkara di atas,” katanya seperti dilapor Harian Metro. 

Difahamkan, kedua-dua Adun berkenaan dibebaskan selepas memberi kenyataan pada hari sama. 

Dalam kejadian 9 Julai lalu, sebuah kuil berhampiran Stesen Kereta Api Alor Setar dirobohkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) kerana didirikan di atas tanah milik kerajaan. 

MBAS sudah mengeluarkan empat notis sejak 10 Januari 2019 sehingga 17 Jun lalu, meminta kuil berkenaan dipindahkan pihak pengurusan kuil. 

Sebelum kerja meroboh, MBAS sudah menyerah notis pengusiran beberapa minggu lebih awal selepas mendapati kuil berkenaan dibina di atas rizab jalan dan mengganggu lalu lintas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here