MENTERI Besar Kedah mempersoalkan kenapa Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hanya menyentuh mengenai Kedah berkaitan cuti umum sektor awam sempena Thaipusam.
Muhammad Sanusi Md Nor berkata Ceupacs sepatutnya mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Thaipusam hari cuti umum rasmi bagi sektor awam seluruh Malaysia.
“Kenapa Ceupacs tujukan kepada Kedah sahaja sedangkan banyak negeri lain tidak memberikan cuti umum atau cuti peristiwa sempena perayaan itu.
“Apakah kakitangan awam hanya ada di Kedah atau Ceupacs mahu menjadi alat kepada pihak tertentu,” soalnya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Sebelum ini, Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin dilaporkan sebuah portal berita berkata tiada istilah cuti bagi pekerja yang bekerja dari rumah (WFH).
Justeru, Abdul Rahman berpendapat cuti peristiwa Thaipusam sewajarnya diberikan kepada rakyat di Kedah.
“Ya (perlu diberikan), kerana itu adalah cuti. Tiada istilah cuti tidak diberikan kerana alasan kerja daripada rumah. Itu dah bukan untuk sambutan. Itu kena kerja.
“WFH (kerja dari rumah) itu kerja, walaupun guna dalam talian, tetap kerja. Jadi berilah cuti dan rehat kepada penjawat awam khususnya yang beragama Hindu sekiranya mereka ingin menyambut di rumah secara sederhana,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
