SERAMAI 25 Ahli Parlimen pembangkang mendesak kerajaan melaksanakan moratorium pinjaman secara automatik untuk tempoh enam bulan seperti dilaksanakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 1.0).
Kesemua Ahli Parlimen terbabit menerusi kenyataan hari ini berkata ia akan menghilangkan keresahan dan birokrasi dengan segera.
Kata mereka, Industri PKS atau mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran pinjaman seperti biasa.
“Enam bulan moratorium pinjaman secara automatik akan meningkatkan aliran tunai kepada sektor ekonomi malah merancakkan aktivitinya.
“Dengan cara ini individu dan PKS akan mempunyai lebihan tunai yang membantu meningkatkan pendapatan semua jenis perniagaan, seterusnya menggalakkan mereka mengekalkan atau mungkin menambah lebih ramai pekerja (bukan membuang pekerja) sepanjang pandemik ini,” kata kenyataan itu.
Semua wakil rakyat terbabit juga mahu kerajaan meningkatkan kadar subsidi upah PERKESO RM600 setiap pekerja kepada jumlah yang lebih tinggi iaitu kepada yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,000 dan melanjutkannya untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.
Mereka menjelaskan, jumlah subsidi RM600 sebulan yang diberi sekarang tidak memadai dalam menghadapi PKP 2.0 dan darurat yang telah menunjukkan kesannya ke atas beberapa sektor.
“Subsidi upah selama enam bulan akan menggalakkan majikan tidak membuang pekerja dan membantu mereka bertahan sehingga separuh tahun akibat penyusutan jualan dan aliran tunai.
“Bagi sesetengah yang lain, ini juga mungkin mendorong mereka untuk mengambil pekerja semula,” katanya.
Menurut kenyataan itu, ini adalah masa yang luar biasa dan kerajaan harus mengambil langkah luar biasa untuk menyelamatkan sektor pekerjaan.
“Peningkatan jumlah penggangguran bakal merugikan negara sehingga tiada lagi pakej rangsangan yang mungkin dapat membantu kita pada masa depan.
“Kerajaan Perikatan Nasional sebenarnya telah pun tewas kepada negara jiran ASEAN dalam daya saing untuk menarik pelabur asing akibat kelemahan, ketidakcekapan dan ketidakstabilan politik.
“Kekal dengan sindrom penafian dan kedegilan untuk mengubah sesuatu yang lebih berkesan untuk sektor perniagaan hanyalah paku keranda terakhir untuk ekonomi kita yang parah dan berdarah,” katanya. – Malaysiapost
Kenyataan ini dikeluarkan oleh:
1. Darell Leiking (Ahli Parlimen Penampang)
2. Syed Saddiq (Ahli Parlimen Muar)
3. Mohd Azis Jamman (Ahli Parlimen Sepanggar)
4. Hannah Yeoh (Ahli Parlimen Segambut)
5. Yeo Bee Yin (Ahli Parlimen Bakri)
6. Baru Bian (Ahli Parlimen Selangau)
7. Datuk Rozman Bin Isli (Ahli Parlimen Labuan)
8. Salahuddin Ayub (Ahli Parlimen Pulai)
9. Amiruddin Hamzah (Ahli Parlimen Kubang Pasu)
10. Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Kulai)
11. Isnaraissah Munirah Majilis (Ahli Parlimen Kota Belud)
12. Mahfuz Omar (Ahli Parlimen Pokok Sena)
13. Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam)
14. Tengku Zulpuri Shah Bin Raja Puji (Ahli Parlimen Raub)
15. Maria Chin (Ahli Parlimen Petaling Jaya)
16. Wong Shu Qi (Ahli Parlimen Kluang)
17. Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh)
18. Dr Dzulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor)
19. Dr Lee Boon Chye (Ahli Parlimen Gopeng)
20. Kasthuriraani Patto (Ahli Parlimen Batu Kawan)
21. P. Prabakaran (Ahli Parlimen Batu)
22. M. Kulasegaran (Ahli Parlimen Ipoh Barat)
23. Chong Chieng Jen (Ahli Parlimen Stampin)
24. Nor Azrina Surip @ Nurin Aina (Ahli Parlimen Merbok)
25. Sivarasa Rasiah (Ahli Parlimen Sungai Buloh)

