KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya memakai pelitup muka dengan cara yang betul.
Mesej berulang kali disampaikan beliau itu kerana sikap sambil lewa masyarakat terhadap kaedah pemakaian pelitup muka dengan cara yang betul berupaya mencetuskan penularan jangkitan Covid-19.
Menerusi laman sosial Facebook dan Twitter miliknya, Dr Noor Hisham mengingatkan orang ramai sama ada memakai pelitup muka dengan cara yang betul atau menanggalkan ia sepenuhnya.
“Peringatan kepada semua kalau nak pakai pelitup muka, sila pakai dengan cara yang betul atau tidak pakai langsung.
“Janganlah tarik turun pelitup muka sampai ke dagu. Ini pelitup muka bukan pelitup dagu,” katanya.
Katanya lagi, pemakaian pelitup muka di dagu akan menyebabkan mulut dan hidung akan dijangkiti virus atau kuman daripada kawasan dagu yang terdedah.
Semalam, sebanyak 3,631 kes baharu Covid-19 direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara terus meningkat kepada 176,180 kes. – Malaysiapost

