TERSENTUH dengan kisah seorang suami yang sanggup menjual kereta demi menampung kos pembedahan isterinya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil membantu pasangan terbabit.
Zulkifli berkata, dia terbaca mengenai kisah Mohd Faizal Wahid, 40 di akhbar semalam dan hari ini berberkesempatan bertemu lelaki terbabit dikediamannya di Klang.
“Saya sudah arahkan Skuad Jejak Asnaf Baitul Mal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) membuat tinjauan semalam.
“Memandangkan beliau menetap di Klang, laporan telah dipanjangkan kepada pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk tindakan lanjut. Tahniah saya ucapkan MAIWP dan LZS atas tindakan pantas,” katanya melalui ciapan di Twitternya hari ini.
Sedikit bantuan turut disampaikan kepada Mohd Faizal dalam pertemuan yang disertai Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat MAWIP, Ahmad Shukri Yusoff dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa MAIWP Zabidi Nasan itu.
Zulkifli turut menasihatkan Mohd Faizal agar tidak menjual kereta Proton Personanya.
“Kereta ini sudah pasti banyak kegunaan dan terus digunakan, tidak perlu dijual.
“Insya-Allah, kerajaan Persekutuan dan negeri sentiasa bekerjasama bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.
Beberapa hari lalu Mohd Faizal memuat naik hantaran melalui Facebooknya bagi menjual Proton Persona miliknya demi menampung kos pembedahan isterinya, Siti Hawa Alias, 39, yang menghidap barah payudara membabitkan kos sebanyak kira-kira RM22,000. – Malaysiapost

