Kenapa tak terima borang nikah? Jabatan agama tak cuti masa PKP

0
2

SEORANG bekas guru menyoal Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) kerana didakwa tidak menerima borang nikah disebabkan bekerja dari rumah (BDR) susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi Facebook Datin Sitti Haishah Abdul Rahman, beliau berkata walaupun PKP ketika ini, sektor awam berjalan seperti biasa dan tidak semua individu bekerja di rumah.

“Kebanyakan kakitangan kerajaan tidak kira kementerian, jabatan mahupun agensi luar semua mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan jabatan masing-masing.

“Konsep bekerja dari rumah (BDR), tidak menutup jabatan masing-masing apa lagi tugas hakiki.

“Semua berjalan seperti biasa termasuk pengajaran dan pembelajaran guru dan murid, urusan imigresen, pengangkutan, hospital, jabatan kebajikan, balai polis dan pejabat agama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, borang perkahwinan tidak diterima oleh jabatan agama termasuk JAWI disebabkan BDR.

“Alasan tidak menerima borang pendaftaran perkahwinan di JAWI mahupun di majlis agama islam negeri tidak boleh diterima kerana jabatan kerajaan bukan ditutup dan kakitangan kerajaan bukan bercuti atau dicutikan.

“Tetapi (mereka) perlu ada yang hadir ke pejabat dan ada yang BDR secara bergilir… budi bicara ketua jabatan menentu pengiliran pegawai bawahan mereka tetapi kerja hakiki masing-masing berjalan seperti biasa.

“Jika alasan PKP dan borang pendaftaran bernikah pun tidak boleh diterima untuk diproses menunjukkan pegawai yang memproses borang-borang berkenaan tidak ada kerjalah sepanjang PKP… Itu belum lagi urusan yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga juga bekas Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) di Kementerian Pendidikan berkata, nasib kakitangan kerajaan baik kerana gaji masih sama walaupun BDR, namun tanggungjawab perlu dilaksanakan agar rezeki berkat.

“Alhamdulillah.. kakitangan kerajaan bernasib baik tidak dipotong elaun ataupun gaji… Maka kerja perlu berjalan dengan apa cara pun agar gaji yang diterima penuh keberkatan… baik online atau ke pejabat.

“Anak lelaki saya Aidid Petah di Putrajaya dan ramai lagi kecewa dengan tindakan JAWI dan Majlis Agama Islam Negeri dan dimaklumkan akan mula berurusan semula selepas PKP.

“Itu baru sebelah pihak lelaki belum lagi prosedur sebelah perempuan di Selangor,” katanya lagi.

Soalnya, sekiranya PKP berlanjutan, pekerja jabatan agama masih tidak berkerja, justeru tiada peluang pasangan untuk bernikah.

“Katakan PKP berlanjutan… tak kerja ke mereka ini dan tidak nikahlah sebab bila tamat PKP baru nak terima borang dan proses… katakan baru nak proses PKP semula… Apa macam?,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, JAWI, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk melihat perkara itu bagi menyelesaikan permasalahan tersebut.

“Ia berbeza dengan Jabatan Pendaftaran yang menguruskan perkahwinan bukan Islam yang berjalan seperti biasa, hanya ada yang kena tunggu tamat PKP baru boleh majlis daftar nikah diadakan.

“Maaf atas keluhan dan kekecewaan ini… ramai di luar sana yang berhajat untuk bernikah… Permudahkan urusan mereka. Insya-Allah, Allah swt mempermudahkan urusan kerja kita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here