Disaman tak pakai pelitup muka, wanita tunjuk rakaman CCTV sebagai bukti

0
2

SEORANG wanita yang dikompaun RM1,000 kerana tidak memakai pelitup muka di Segamat, Johor menafikan ada individu lain berhampirannya seperti didakwa polis.

Nur Izzati Aqilah Lokman Hakim menerusi Twitter berkongsi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membuktikan dia tidak berada di tempat sesak ketika disaman.

Berdasarkan rakaman tersebut, wanita itu kelihatan keluar dari kereta sebelum sebuah kereta polis berhenti dan seorang anggota mendekati dan mengeluarkan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka di depan kafe miliknya, kelmarin.

Nur Izzati memaklumkan pada mulanya dia mahu membuat rayuan terhadap denda itu, namun reda kerana merasakan ia mungkin sia-sia, malah bukti rakaman CCTV yang dikemukakan didakwa tiada maklum balas.

“Aku bukan nak mengalah awal ke apa. tapi nampaknya kes aku ni macam tak ada future saja. Dah bagi bukti CCTV tempat tak sesak pun senyap sahaja.

“Video durasi 6 minit yang aku ada. Tapi tak reti nak post video panjang. Aku redha, tunggu mahkamah maha Esa sajalah. Ha gitu (begitulah) 4 polis, aku, anak-anak,” ciapnya.

Kelmarin, Nur Izzati menerusi laman sosial itu mendakwa dia baru keluar kereta untuk mengambil anaknya di tempat duduk sebelah sebelum polis tiba dan menyamannya.

“Kau bayangkan aku baru keluar dari kereta nak pergi ambil anak kat seat sebelah, bukan tempat sesak. Kafe aku pun tak buka lagi.

“Dia (polis) saman aku! Sebab aku bukan politician. Kedai keliling kafe aku semua tutup! doakan aku nak fight esok,” katanya.

Dia turut menyertakan gambar laporan berita bergambar memaparkan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berkata pelitup muka tidak wajib jika individu itu hanya berseorangan atau bukan di tempat sesak.

Semalam, Polis Johor menafikan dakwaan yang wanita itu disaman kerana tidak memakai pelitup muka walaupun tidak berada di tempat awam yang sesak.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata ketika kejadian ramai orang keluar masuk kedai itu dan premis berhampiran.

“Ketika itu ada seorang pekerja kafe di situ yang memakai pelitup muka. Tindakan (pemilik itu) tidak berbuat demikian mampu menimbulkan kegusaran orang ramai di situ,” katanya.

Menurutnya, polis memandang serius perkara itu dan tidak akan berkompromi dengan sesiapa yang tidak mematuhi SOP ditetapkan kerajaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here