WANITA yang tular di media sosial susulan ditahan kerana tidak membayar barangan makanan dan ubat yang diambil di sebuah pasar raya di Petaling Jaya baru-baru ini disahkan adalah penerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Suri rumah terbabit adalah daripada keluarga asnaf yang Berdaftar dengan LZS sejak 2018 sehingga kini.
LZS dalam satu kenyataan semalam memaklumkan keluarga berkenaan menerima bantuan kewangan bulanan, bantuan hari raya dan juga bantuan keperluan sekolah.
“Atas info yang diberikan berkenaan tular ibu terdesak mencuri, kami dapat mengesan maklumat wanita terbabit.
“Untuk makluman berdasarkan kepada semakan kami, keluarga ini adalah asnaf berdaftar dengan LZS sejak 2018 sehingga kini.
“Mereka telah disantuni dengan bantuan kewangan bulanan, bantuan hari raya dan bantuan keperluan sekolah,” katanya.
LZS bagaimanapun, prihatin dengan apa yang berlaku dan akan melihat semula keperluan dan permasalahan keluarga terbabit.
Terdahulu, Polis Daerah Petaling Jaya memberi bantuan kepada wanita berkenaan pada Rabu.
Sebelum ini, tular mengenai seorang wanita yang dikatakan terdesak hingga mencuri makanan dan ubat di sebuah pasar raya pada Rabu lalu.
Kejadian itu menarik perhatian Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal untuk mengunjungi dan membantu keluarga berkenaan.
-Malaysiapost

