Nurul Huda Abhar
PROSEDUR Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak pernah mewajibkan pemakaian sarung tangan bagi pekerja di premis perniagaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat kekeliruan bagi pihak yang melaksanakan tugas pemantauan pematuhan SOP dengan arahan daripada Ibu Pejabat Polis.
“Ibu Pejabat Polis memberitahu tidak pernah ada arahan seperti itu.
“Daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga tiada arahan yang menyatakan wajib memakai sarung tangan,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau membuat kenyataan itu bagi menjawab berkaitan satu video tular di media sosial di mana seorang pekerja kedai didakwa telah dikompaun selepas tidak memakai sarung tangan.
“Saya ingin berterima kasih kepada rakyat yang menyebarkan video ini kerana tindakan segera dapat diambil.
“Kita tidak mahu kes-kes seperti ini berlaku lagi. SOP yang tidak diwajibkan akan menyusahkan orang ramai,” katanya. – Malaysiapost

