PKP: Terengganu izin solat Jumaat, fardu berjemaah

0
4

SULTAN Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan membenarkan solat Jumaat dan fardu berjemaah dilaksanakan di semua masjid serta surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata pelaksanaan solat Jumaat di masjid dibenar didirikan dengan 40 jemaah.

Katanya, ia terdiri daripada kalangan anak mukim tidak termasuk imam, bilal, ahli jawatankuasa masjid dan mana-mana orang yang diberi kebenaran oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan.

“Pelaksanaan solat fardu secara berjemaah di masjid dan surau dibenarkan kepada imam, bilal dan Ahli Jawatankuasa Masjid sahaja dengan bilangan tidak melebihi 12 orang,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Trdi.my.

Osman turut memaklumkan sebarang aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan lain termasuk kuliah maghrib, kuliah subuh dan kuliah dhuha tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKP.

“Jawatankuasa masjid dan surau diarah mematuhi segala SOP ditetapkan oleh pihak berkuasa dan arahan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dari semasa ke semasa supaya pelaksanaan solat Jumaat dan fardu berjemaah berjalan dengan baik.

“Jawatankuasa masjid atau surau yang gagal mematuhi SOP berkaitan dan arahan yang ditetapkan, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu boleh mengambil tindakan dengan menutup masjid atau surau berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semua Pegawai Agama Daerah diarah membuat pemantauan bagi memastikan semua masjid dan surau mematuhi SOP dan syarat ditetapkan.

“Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari swmasa ke semasa tertakluk kepada arahan pihak berkuasa yang akan dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here