“JANGAN cuba menimbulkan kekeruhan termasuk mendesak Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur atau menolak beliau,” kata Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu, berkata beliau meminta pihak tertentu supaya bersabar dan menghormati amalan demokrasi yang diamalkan dalam parti.
“Jangan ada pihak yang cuba menimbulkan kekeruhan di saat parti berdepan dengan sesuatu tugasan besar untuk jadi penyemak dan imbang kepada kerajaan hari ini.
“Kalau kita terus timbul pergolakan dengan memberi tekanan supaya Pesiden parti berundur belum sampai tempoh masa, bererti kita tidak hormati sistem demokrasi dalam parti,” katanya seperti dilapor Astro Awani.
Beliau berkata, jawatan presiden parti diperoleh melalui pemilihan dan bukannya melalui lantikan.
“Apabila sampai masa yang sesuai, dapatkan sokongan dari akar umbi dan tawar diri bertanding,” katanya.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, beliau bukan untuk pertahankan nama Ahmad Zahid sebaliknya ia kerana nama institusi presiden.
Dalam masa yang sama, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat usaha dan gerakan ke arah mencabar presiden secara tersusun.
Sebelum ini, terdapat kenyataan daripada sayap Pemuda di beberapa bahagian meminta Ahmad Zahid berundur.
Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa Yang mendakwa Umno sudah berpecah kepada tiga kumpulan, Ahmad Jazlan mendakwa ia hanya melibatkan pemimpin tertentu sahaja.
“Perpecahan hanya berlaku dalam kalangan pemimpin yang mencetuskan polemik berpanjangan kerana akar umbi masih setia kepada parti dan institusi presiden,” katanya. -Malaysiapost

