Datuk, rakan didakwa pukul pengurus restoran

0
2

DUA ahli perniagaan termasuk seorang bergelar Datuk didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas tuduhan mendatangkan kecederaan dan melakukan kacau ganggu di sebuah restoran di Persiaran Tropicana, minggu lalu.

Terdahulu, Datuk Tan Wai Khan, 42 dan Ang Mow Loong, 39, mengaku bersalah terhadap empat tuduhan mendatangkan kecederaan dan melakukan kacau ganggu di sebuah restoran, sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Bagaimanapun, Wai Khan mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan atas tuduhan melakukan khianat dengan memecahkan pinggan mangkuk di restoran berkenaan, lapor Berita Harian.

Namun, mahkamah menetapkan 2 April ini untuk mendengar fakta kes dan menjatuhkan hukuman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Wai Khan didakwa atas dua tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap Magdelene Wong Chung Yi, 31 dan Lee Dek Quan, 26, dengan memukul kedua-kedua mangsa di Restoran Stimbot TST, Tropicana Avenue, Damansara jam 9 malam, 12 Januari lalu.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Wai Khan turut dituduh melakukan khianat dengan memecahkan pinggan mangkuk milik Kwan Pei Choong, 31, di tempat, masa dan tarikh sama serta didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Wai Khan dan Mow Loong didakwa bersama-sama mendatangkan kecederaan kepada Pei Choong dengan memukul mangsa pada tempat, masa dan tarikh sama.

Mereka turut dituduh bersama-sama melakukan kacau ganggu yang boleh menyebabkan kegusaran kepada pelanggan dan pekerja di restoran itu, pada masa dan tarikh sama.

Pendakwaan bagi kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang boleh dikenakan denda maksimum RM400.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Zubaidah Mahat menawarkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh dalam rayuan mereka menerusi peguam, Datuk Suraj Singh memohon dibenarkan jaminan rendah kerana sudah memberikan kerjasama baik kepada polis serta tidak berisiko melarikan diri.

Mahkamah membenarkan Wai Khan dan Mow Loong, masing-masing diikat jamin RM10,000 dan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, satu video berdurasi 29 saat menunjukkan suspek memukul seorang lelaki di restoran berkenaan tular di media sosial sejak kelmarin.

Siasatan awal mendapati mangsa dipukul kerana menegur suspek yang duduk di meja bersebelahan kerana bercakap dalam nada suara yang tinggi. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here