Surat Ahmad Maslan wakili kehendak parti – Nazri Aziz

0
2

SURAT Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada ahli-ahli Parlimen untuk menggesa Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen khas adalah atas kehendak parti.

Status surat itu dijelaskan Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang turut menolak dakwaan surat itu kononnya mewakili individu tertentu.

Mohamed Nazri yang juga bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) turut mengesahkan surat yang dihantar kepada semua 41 ahli Parlimen Umno dan BN itu diutus Ahmad selepas mesyuarat Biro Politik Umno, baru-baru ini.

Sebagai ahli Umno yang setia, beliau menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Pontian itu sebagai tepat dan wajar.

“Saya cuma tahu surat itu diutuskan selepas satu mesyuarat Biro Politik Umno baru-baru ini. Surat itu kehendak parti, bukan individu.

“Saya secara peribadi menyokong langkah Ahmad dan parti menggesa sidang Parlimen khas diadakan pada saat darurat kerana tindakan itu tepat dan wajar,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian, hari ini.

Beliau yang baru-baru ini menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyifatkan langkah kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksanakan proklamasi darurat atas alasan mengekang Covid-19 sebagai ‘menghukum’ amalan demokrasi.

Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu turut menempelak beberapa ahli Parlimen Umno yang cuba mempertikaikan tuntutan terkini parti dengan kenyataan yang seolah-olah mahu mengelirukan rakyat.

“Kita sekarang duduk di bawah kerajaan minoriti, maknanya segala keputusan dibuat parti, semua ahli Parlimen Umno dan BN kena akur.

“Surat itu dikeluarkan di bawah mesyuarat Biro Politik, jadi tak usah mana-mana ahli Parlimen (Umno dan BN) pandai sangat hendak ‘argue’. Jangan pandai-pandai keluarkan kenyataan untuk kelirukan rakyat,” katanya.

Isnin lalu, Ahmad dilaporkan menghantar surat kepada ahli Parlimen parti itu untuk menyatakan persetujuan satu sidang Parlimen khas berhubung Proklamasi Darurat diadakan.

Bagaimanapun, usaha Ahmad itu mendapat kritikan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang menyifatkan ia cubaan menderhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang berkenan mengisytihar darurat pada 12 Januari lalu.

Difahamkan, usaha Ahmad gagal selepas hanya tujuh ahli Parlimen Umno bersetuju, manakala 35 yang lain tidak bersetuju kerana bimbang dikecam menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agung. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here