Nurul Huda Abhar
PELAKON Elfira Loy menasihati ibu supaya tidak perlu berasa takut untuk bertegas jika terdapat individu yang ingin menghampiri anak-anak.
Elfira atau lebih selesa menggelar dirinya sebagai El memberitahu, niat ibu-ibu adalah untuk lebih melindungi anak daripada didekati orang lain kerana bimbang dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19.
Ini kerana, El tidak menyangka individu yang pernah berjumpa dengan anaknya, Muhammad Rayyan Khalaf, 15 bulan, telah dijangkit virus tersebut.
“Kongsi di sini sebagai peringatan kepada ibu-ibu, untuk keadaan sekarang tidak mengapa untuk bertegas mengatakan tidak kepada orang yang nak datang rapat dengan anak kita .
“Terutamanya bila kita tahu orang itu selalu keluar dan jumpa dengan ramai orang.
“Rayyan tak keluar, tapi kita tak tahu orang yang datang rumah itu telah terdedah kepada virus.
“Jadi nak dijadikan cerita, dia merupakan salah seorang kontak rapat. Memang nak luruh jantung, sebab saya takut sangat dengan hospital, kalaulah jadi apa-apa mesti saya kena jaga dia, memang takut sangat,” tulisnya di Instagram anaknya semalam.
Menurut El, dia bersyukur keputusan ujian saringan Covid-19 ke atas Muhammad Rayyan adalah negatif walaupun anaknya bersama dengan individu dijangkiti terbabit selama beberapa jam.
“Alhamdulillah semuanya baik. Kuat imun system anakku dan syukur kepada ALLAH SWT kerana melindungi Rayyan.
“Menakjubkan kerana dia terdedah beberapa jam tetapi tidak ada apa-apa tetapi yang terdedah satu jam dijangkiti. Memang ajaib,” ujarnya lagi.
Jelas El, orang ramai perlu terus menjaga kesihatan diri dan mengambil vitamin C untuk mengekalkan sistem ketahanan tubuh badan.
“Jadi tolong jaga diri anda dan pastikan makan vitamin C,” katanya.
Elfira mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faris Khairol Anuar, pada 1 Januari 2019 dalam satu majlis tertutup di Cyberjaya.
Pasangan tersebut dikurniakan cahaya mata lelaki pada 1 Oktober tahun yang sama. – Malaysiapost

