MESKIPUN seluruh Malaysia sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hak kaum India untuk merayakan Thaipusam tidak wajar dinafikan.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan langkah Kerajaan Kedah membatalkan cuti umum Thaipusam di negeri itu adalah tindakan tidak wajar.
“Thaipusam adalah antara perayaan terpenting bagi kaum India di Malaysia.
“Negeri-negeri Malaysia sudah berpuluh tahun mengisytiharkan perayaan ini sebagai hari cuti.
“Walaupun perayaan tahun ini terkesan akibat PKP, tiada perlunya untuk batalkan hari cuti sebab keluarga kaum India masih boleh meraikannya di rumah masing-masing. Kita kekalkan sahaja tradisi ini. Kita 1Malaysia,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Semalam Kerajaan Kedah membatalkan cuti umum bagi perayaan Thaipusam tahun ini susulan larangan semua aktiviti sambutan perayaan ketika PKP.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, keputusan itu susulan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Rabu lalu akibat peningkatan semasa kes Covid-19.
“Tidak ada cuti peristiwa. Oleh kerana tidak ada perayaan tahun ini, tidak ada cuti umum pada 28 Januari ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden MIC M Saravanan dalam kenyataan hari ini, membidas Muhammad Sanusi sebagai angkuh dan rosak berikutan keputusan beliau membatalkan cuti perisitiwa untuk sambutan Thaipusam di negeri itu.
Saravanan berkata, keputusan Sanusi itu menyerlahkan sikap angkuh dan jahil beliau terhadap penganut Hindu.
“Sungguhpun cuti Thaipusam adalah budi bicara kerajaan negeri, keputusan (pembatalan cuti peristiwa) itu mempamerkan keangkuhkan kerajaan pimpinan PAS di Kedah,” katanya. -Malaysiapost

