SERAMAI 36 pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Sabah tahun ini disahkan dijangkiti Covid-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Masidi Manjun, berkata kes itu dikenal pasti menerusi ujian saringan yang dijalankan sebelum pelajar terbabit dibenarkan kembali ke asrama bagi mengikuti sesi pembelajaran sebagai persiapan menghadapi peperiksaan awam berkenaan.
“Setakat 20 Jan, seramai 36 pelajar SPM dan STPM disahkan dijangkiti COVID-19 melalui saringan balik ke asrama mulai 16 Jan lepas,” katanya seperti dilapor Bernama
Masidi berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah telah menyediakan perkhidmatan internet di setiap Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah bagi memudahkan pelajar yang menjalani rawatan dan tempoh kuarantin mengikuti sesi pembelajaran secara dalam talian.
Sementara itu, Masidi berkata, masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan pelaksanaan PKP di Sabah, yang masuk hari kelapan hari ini, dalam usaha melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 di negeri itu.
Katanya, gambaran sebenar sama ada pelaksanaan PKP berkesan ataupun tidak hanya akan diketahui selepas 10 hari arahan itu dikuatkuasakan.
“Kes-kes jangkitan di Sabah ketika ini adalah susulan pematuhan SOP yang lemah dalam kalangan rakyat sebelum PKP dilaksanakan dan ini dapat disaksikan menerusi penurunan kadar peratusan pematuhan SOP di setiap daerah,” katanya.
Bagaimanapun, Masidi tidak menolak kemungkinan trend peningkatan kes jangkitan di Sabah dalam beberapa hari ini berpunca daripada keputusan ujian saringan secara besar-besaran yang dijalankan oleh PERKESO ke atas pekerja kilang terutama di Pantai Timur Sabah. -Malaysiapost

