BERDASARKAN kuasa darurat yang dimiliki Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bermakna tidak ada jalan keluar untuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, situasi itu menjadikan tiada lagi sistem demokrasi dalam pentadbiran negara.
“Dengan keadaan darurat, kuasa Perdana Menteri tidak boleh dicabar. Tidak ada lagi demokrasi.
“Jadi, saya rasa parti Pejuang tidak dapat berbuat apa-apa supaya RoS mendaftarkan parti,” katanya.
Dr Mahathir berkata, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), marah ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri melakukan perkara yang sama kepadanya pada tahun 2018.
Bagaimanapun, katanya, Muhyiddin kini melakukan perkara yang sama terhadap parti Pejuang.
“Pemimpin Bersatu dalam kerajaan mesti tahu, sehari sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14), pendaftaran Bersatu dibatalkan.
“Perdana Menteri sekarang yang pada masa itu Presiden Bersatu sangat marah. Dia menganggap pembatalan itu tidak adil dan taktik kotor kerajaan Najib untuk berbuat demikian.
“Tetapi, sekarang dia menjadi kerajaan yang mempunyai kuasa darurat, dia melakukan hal yang sama yang dia kecam Najib dulu,” katanya seperti dilaporkan portal MalaysiaKini.
Dr Mahathir berkata, RoS telah mengesahkan permohonan pendaftaran Pejuang ‘tidak ada masalah’, tetapi kelulusan perlu dirujuk kepada Menteri Dalam Negeri, (Datuk Seri) Hamzah Zainuddin, walaupun prosedur itu tidak memerlukannya.
Akhirnya, Dr Mahathir berkata, Pejuang perlu membawa perkara itu ke mahkamah.
“Petang sebelum mahkamah membuat keputusan, RoS menjawab permohonan kami ditolak.
“Sebab yang diberikan RoS, versi dalam talian perlembagaan parti kami tidak betul, tetapi kami telah memberikan salinan bercetak,” katanya.
Dr Mahathir bertanya, apakah menghalang pendaftaran Pejuang juga merupakan antara langkah yang perlu dibuat dalam memerangi wabak Covid-19?
“Mungkinkah dengan meluluskan parti kami akan memburukkan lagi wabak atau kerajaan yang begitu sibuk menguruskan Covid-19 sehingga tidak punya masa untuk urusan lain.
“Atau inilah cara kerajaan memastikan pilihan raya tanpa lawan,” katanya.
Pengisytiharan darurat yang berkuat kuasa pada 11 Januari lalu, menyaksikan penggantungan Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan.
Muhyiddin berkata darurat diperlukan untuk memerangi wabak itu, tetapi pengkritik mendakwa darurat digunakan untuk dia terus berkuasa selepas hilang majoriti di Dewan Rakyat. – Malaysiapost

