Covid-19: 38 polis Taiping diarah kuarantin diri

0
2

SERAMAI 38 pegawai dan anggota polis Taiping diarah menjalani kuarantin kendiri oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas seorang wanita yang ditahan dalam Ops Noda pada 11 Januari lalu, didapati positif Covid-19.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata dalam operasi jam 6 petang itu, wanita berusia 31 tahun yang berkerja sebagai tukang urut di sebuah premis dekat Jalan Tupai disahkan positif Covid-19 oleh petugas KKM selepas menjalani ujian calitan.

Beliau berkata, susulan itu, atas nasihat KKM, kesemua anggota yang terbabit dalam operasi penangkapan, kawalan lokap dan mahkamah, diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah bermula semalam.

“Wanita terbabit kini dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk tindakan selanjutnya oleh KKM sambil dipantau anggota polis.

“Selain anggota, ujian calit juga akan turut dijalankan KKM terhadap OKT yang berada bersama sel tahanan warga Thailand itu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dalam perkembangan lain, Osman berkata, pihaknya akan menambahkan tiga lagi Sekatan Jalan Raya (SJR) di Taiping sebagai persediaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan menjadikan jumlah keseluruhan SJR di sini sebanyak lima lokasi.

Beliau berkata, pihaknya turut mendapat bantuan anggota dari beberapa agensi termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berikutan banyak anggotanya kini menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Osman berkata, sepanjang PKP Bersyarat (PKPB) dilaksanakan pada awal bulan lalu, sebanyak 365 kompaun ingkar pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dikeluarkan dan menjadikan jumlah kompaun dikeluarkan IPD Taiping sejak PKP dilaksanakan bermula Mac tahun lalu adalah melebihi 1,000 saman. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here