MENTERI Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique yang menjalani ujian saringan Covid-19 semalam, disahkan positif virus itu hari ini.
Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan berkata, susulan itu Halimah akan menjalani rawatan dan tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) di Johor Bahru.
“Sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan ini, Datuk Halimah akan terus memantau dan memastikan segala urusan Kementerian Perpaduan Negara berjalan dengan lancar.
“Datuk Halimah mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesembuhan beliau dan memohon maaf di atas segala kesulitan dan masalah yang timbul akibat perkembangan ini,” kata kenyataan itu, hari ini.
Ini menjadikan Halimah ahli politik terbaharu disahkan positif Covid-19 selepas Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Terdahulu hari ini, Mohamed Nazri memberitahu dirinya positif Covid-19 selepas mempunyai kontak rapat dengan seorang pesakit Covid-19 yang turut hadir dalam sidang medianya beberapa hari lalu.
Antara menteri dan timbalan menteri yang positif Covid-19 sebelum ini ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Datuk Seri Rina Harun dan Datuk Zahidi Zainul Abidin. – Malaysiapost

