TAK memadai dan terlalu sedikit, kata bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.
Setiausaha Agung DAP itu berkata, jumlah RM15 bilion itu jauh berbeza dengan peruntukan RM305 bilion oleh kerajaan ketika permulaan wabak Covid-19 tahun lalu, selain jumlah itu juga tidak merangkumi sebarang suntikan fiskal baharu.
“Walaupun dengan tindakan seperti itu (peruntukan RM305 bilion tahun lalu), ekonomi negara tetap merosot sehingga mencatat kadar pengangguran tertinggi untuk beberapa dekad, iaitu 4.8 peratus pada November 2020.
“Bagaimana pakej bantuan RM15 bilion, dengan jangkaan perbelanjaan langsung hanya RM3.87 bilion, yang dialihkan daripada peruntukan sedia ada, dapat membantu memulihkan ekonomi kita?” katanya dalam kenyataan.
Guan Eng berkata, jumlah itu turut jauh berbanding pakej rangsangan RM45 bilion yang dicadangkan Pakatan Harapam (PH) untuk mengatasi kemerosotan ekonomi semasa bagi menyelamatkan perniagaan dan pekerjaan.
Katanya lagi, pakej tersebut jelas hanya ‘bungkusan baharu’ apabila Muhyiddin sendiri mengakui dana itu diambil daripada peruntukan sedia ada dalam Belanjawan 2021.
“Memandangkan tiada suntukan fiskal baru ke dalam ekonomi di bawah PERMAI, kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi untuk keluar dari kemerosotan juga minimum,” katanya.
Sementara itu, Guan Eng berkata Muhyiddin mungkin mendapat nasihat salah jika beliau yakin pembukaan semula lebih banyak perniagaan pada PKP kali ini akan mengurangkan kesannya kepada ekonomi.
“Selepas PKP pertama, pertumbuhan KDNK merosot ke paras negatif 17.1 peratus dalam suku kedua 2020.
“Jika ekonomi terus merosot dua peratus dalam suku pertama atau kedua tahun ini, ia pastinya tidak baik untuk ekonomi Malaysia memandangkan tahun ini dijangka ekonomi secara relatifnya bertumbuh,” katanya. – Malaysiapost

