Isu perkahwinan wanita Malaysia di India, kerajaan belum ada maklumat

0
2

KERAJAAN belum menerima sebarang maklumat berkaitan perkembangan siasatan berhubung perkahwinan wanita Malaysia, Illi Najwa Saddique dengan kapten pasukan hoki India, Manpreet Singh Pawar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary, berkata pihaknya menyerahkan perkara itu kepada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Beliau juga menyatakan tidak pasti sama ada wanita berasal dari Johor itu telah pulang ke Malaysia atau sebaliknya.

“Namun ketika kes ini kecoh, keluarga wanita itu berusaha untuk membawanya pulang segera,” katanya selepas penyerahan Sumbangan Food Bank oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) di Kota Bharu hari ini.

Semalam, Malaysiapost melaporkan JAINJ masih menjalankan siasatan berhubung status perkahwinan pasangan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi memberitahu Malaysiapost setakat ini tiada maklumat yang boleh dikongsikan bersama media berhubung kes berkenaan.

“Belum ada apa-apa. Saya pun tidak dimaklumkan apa-apa kerana kes ini masih dalam siasatan. Jika ada perkembangan saya akan maklumkan nanti,” katanya ketika dihubungi.

Disember lalu media melaporkan kapten hoki pasukan India itu melangsungkan majlis perkahwinan dengan kekasihnya dari Malaysia selepas menjalin hubungan cinta sejak lapan tahun lalu.

Majlis resepsi diadakan di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab di India.

Manpreet, 28, mengenakan sut perkahwinan punjabi lengkap dengan serban, sementara Illi Najwa pakaian pengantin Punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.

Perkahwinan itu menjadi kontroversi sehingga Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan JAINJ dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita dari negeri itu yang dilapor berkahwin dengan pemain hoki warga India.

Baginda dilaporkan mahu keabsahan agama wanita itu disahkan melalui ahli keluarganya di sini dan menerusi maklumat daripada kedutaan Malaysia di India.

Sultan Ibrahim juga menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat apa-apa kesimpulan dan tindakan pra matang dalam mengulas isu itu. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here