ADUN Malim Nawar dakwa belum terima surat pemecatan

0
2

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng menyatakan, beliau belum menerima sebarang surat mengenai pemecatannya oleh DAP Pusat.

Menurutnya, pengumuman mengenai pemecatan itu hanya diketahui menerusi laporan sebuah portal berita pada Isnin lalu.

“Saya sendiri tidak tahu mengenainya. Cuma baca melalui media sahaja yang saya telah dipecat dari DAP.

“Setakat ini tak ada apa-apa yang saya boleh komen sebab saya sendiri tak terima apa-apa surat rasmi mengenai perkara itu,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Terdahulu, dalam laporan sebuah portal berita memaklumkan, Jawatankuasa Disiplin DAP telah membuat keputusan memecat Cheok Keng pada Ahad.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Chong Chien Jen dalam satu kenyataan bahawa keputusan memecat ADUN Malim Nawar itu berkuatkuasa serta merta.

Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Cina mendedahkan beberapa ADUN DAP akan menyertai MCA termasuk Cheok Keng.

Malah, Setiausaha Organisasi Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak, Steven Tiw pada 5 Januari lalu dalam satu kenyataan meminta Cheok Keng meletakkan jawatan sebagai ADUN Malim Nawar.

Katanya, beberapa tindakan Cheok Keng yang sebelum ini membelakangi parti disifatkan sebagai musuh dalam selimut.

“Beliau harus sedar kemenangannya sebagai ADUN sebelum ini disebabkan kepercayaan rakyat kepada parti DAP, bukan kekuatan atau peribadi Leong (Cheok Keng).

“Saya mencabar beliau meletakkan jawatan sebagai ADUN dan membuktikan beliau mempunyai sokongan padu dengan memenangi pilihan raya akan datang menggunakan logo atau parti yang baru disertainya,”
katanya yang juga Setiausaha Politik Ahli Parlimen Ipoh Timor.

Pada 11 September 2019, Cheok Keng bersama seorang lagi wakil rakyat DAP, ADUN Pokok Assam, Leow Thye Yih mengumumkan peletakan jawatan dalam jawatankuasa DAP Perak.

Keputusan tersebut dibuat selepas tidak berpuas hati dengan kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming dalam akhbar berbahasa Cina berhubung perbincangan dalam Pakatan Harapan (PH) mengenai kedudukan Exco kerajaan negeri, Paul Yong yang menghadapi pertuduhan merogol pembantu rumah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here