PAKEJ langganan khas untuk pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan diperluas kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
Ia akan diperkenalkan susulan situasi negara yang menuntut kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pakej itu akan disediakan sehingga hujung April 2021.
“Industri telekomunikasi bersedia memberi bantuan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Pemberian data 1 Gigabit secara percuma telah diberi kepada orang ramai untuk melayari laman web, termasuklah untuk tujuan pendidikan.
“Kemudahan yang bernilai RM500 juta ini telah bermula pada 1 Januari 2021 dan akan dilanjutkan sehingga hujung April 2021.
“Selain itu, pakej langganan khas untuk pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM akan diperluaskan kepada pelajar institusi pengajian tinggi. Pakej ini juga akan disediakan sehingga hujung April 2021,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, sebentar tadi.
Artikel Berkaitan: Kerajaan peruntuk RM66 juta bagi bantuan ‘one-off’ kepada pemandu teksi, bas
Sementara itu, Muhyiddin berkata kerajaan akan melanjutkan tempoh pelepasan cukai khas ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet.
“Selaras keperluan norma baharu yang banyak bergantung kepada penggunaan alat digital, suka saya berkongsi pelepasan cukai khas sehingga RM2,500 ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet yang telah berakhir pada 31 Disember 2020 akan dilanjutkan setahun lagi sehingga 31 Disember 2021. – Malaysiapost
Gambar sekadar hiasan.

