PGA rampas arak seludup disorok belakang lori

0
2
Gambar hiasan/Bernama

PASUKAN Gerakan Am (PGA) mengagalkan cubaan menyeludup minuman keras dianggar bernilai lebih RM100,000 dalam Op Benteng Covid di Klang, petang semalam.

Kejayaan itu dilakukan PGA Batalion 4 Semenyih yang turut menahan seorang suspek berusia 28 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed, berkata pihaknya menahan suspek bersama dua lori di belakang bangunan rumah kedai di Jalan Telok Gadung, Klang kira-kira jam 2 petang.

“Pemeriksaan di bahagian belakang kedua-dua lori itu, menjumpai pelbagai jenis minuman keras yang dipercayai diseludup dan tidak bercukai.

“Pemeriksaan lanjut turut dijalankan di dalam bangunan rumah kedai di kawasan sama dan turut menjumpai sejumlah minuman keras dipercayai tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan minuman keras yang dijumpai adalah 452 kotak dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan RM100,356.

“Nilai cukai adalah RM144,958 dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM435,314.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Klang untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kastam 1967 dan polis percaya rampasan ini berjaya memutuskan satu rangkaian sindiket pengedaran arak tidak bercukai sekitar Klang,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here