PM umum pakej PERMAI bernilai RM15 bilion

0
2

TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion.

Perdana Menteri berkata pakej bantuan PERMAI itu menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan mempercepat pelaksanaan inisiatif yang berkaitan.

“Kerajaan berulang kali membuktikan tidak akan berkompromi dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

“Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah PERMAI yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri, sebentar tadi.

Berikut adalah perincian Matlamat Pertama PERMAI iaitu Memerangi Wabak Covid-19

Di bawah matlamat pertama memerangi wabak Covid-19, kerajaan telah menyediakan dana tambahan RM1 bilion, merangkumi hampir RM800 juta kepada KKM, dan
selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara dan agensi lain yang terlibat.

Penyediaan peruntukan ini menumpukan kepada bekalan antaranya tambahan reagen dan kit saringan, serta peralatan
PPE terutama kepada petugas kesihatan.

Inisiatif 1: Melaksanakan Program Vaksinasi Covid-19

Sukacita saya mengumumkan bahawa perancangan program vaksinasi kita adalah on-track. Kerajaan telah menandatangani tiga perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin, dan dijangka menerima bekalan vaksin yang pertama pada penghujung bulan Februari nanti.

Melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 yang telah ditubuhkan, kerajaan akan memastikan ketelusan perolehan vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan akan diberi perhatian utama.

Sebanyak RM3 bilion telah diperuntukkan khusus bagi perolehan ini.

Bagi penetapan mereka yang akan menerima vaksin ini kelak, dalam sedikit masa lagi, garis panduan dan kaedah penentuan bagi
individu yang perlu mengambil vaksin ini akan dihebahkan. Realistiknya, program vaksinasi ini dijangka berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan. Ini bermakna, kumpulan pertama yang dijangka menerima vaksin adalah pada awal Mac, dan
dapat meliputi lebih daripada 80 peratus atau hampir 27 juta penduduk Malaysia menjelang suku pertama tahun 2022.

Saya juga ingin berkongsi bahawa Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah memutuskan hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus, dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan. Menentukan kemaslahatan komuniti bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here