Nurul Huda Abhar
EXCO Pemuda Umno, Mustafa Shah Abdul Hamid menyuarakan kekecewaan mengenai isu pembinaan dewan bernilai RM35 juta di Pagoh dalam keadaan rakyat dihimpit kesukaran akibat pandemik Covid-19.
Menurut Mustafa, ketika kerajaan menggantung Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana ingin memberi tumpuan kepada usaha menangani Covid-19 secara berkesan, bagaimana pembinaan dewan itu boleh diteruskan.
“Apakah kepentingannya kepada rakyat secara keseluruhannya dengan pembinaan dewan berkenaan. Apakah ia mampu untuk menurunkan kadar jangkitan Covid-19?
“Rakyat ketika ini berada dalam situasi sukar, apatah lagi dengan keengganan kerajaan mengarahkan supaya instituasi kewangan memberi lanjutan moratorium serta pelbagai syarat dikenakan bagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mustafa berkata, adalah lebih baik jika peruntukan besar itu disalur kepada tujuan yang sepatutnya diberi keutamaan seperti meningkatkan fasiliti ataupun kelengkapan hospital bagi menghadapi gelombang Covid-19.
Selain itu, katanya, peruntukan itu boleh disalurkan kepada rakyat yang ketika ini berdepan situasi sukar akibat Covid-19.
“Sebagai Perdana Menteri, keutamaan harus diberikan kepada rakyat dan bukannya menjaga kelompok tertentu saja,” ujarnya.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) sebelum ini menjelaskan bahawa peruntukan pembangunan tersebut diberi untuk pembinaan tiga dewan orang ramai iaitu Dewan Gersik, Tangkak bernilai RM13 juta, Dewan Masyarakat Bukit Pasir, Muar (RM16.66 juta) dan Pusat Komuniti Bukit Kepong, Muar (RM5.77 juta).
Katanya, peruntukan pembangunan itu bukan untuk pembinaan sebuah dewan sepertimana yang digembar-gemburkan oleh sesetengah pihak. – Malaysiapost

