PdPR: Ibu bapa tanggung beban pantau ‘kerja rumah online’ anak

0
2

Nurul Huda Abhar 

BERIKUTAN pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat keluhan dari pihak ibu bapa yang terpaksa menanggung tugas ‘kerja rumah online’ anak-anak. 

Berdasarkan perkongsian pemilik akaun Facebook (FB) bernama Khairul Kamilin, beliau yang juga guru turut bersetuju dengan dengan penambahan tanggungjawab ibu bapa perlu memantau semua kerja rumah dalam talian yang diberi kepada anak-anak. 

”Aku ni guru dan dalam masa yang sama bapa kepada tiga anak yang bersekolah. Dalam bab ni, aku memang akan pakai ‘baju’ parent dan bersetuju dengan pendapat di atas. Lantaklah cikgu nak marah ke apa. 

“Pernah sampai kami laki bini berselisih faham kecil di rumah dalam bab menyelesaikan tugasan yang cikgu bagi,” tulisnya. 

Menurut Khairul, bebanan kerja rumah anak-anak yang perlu dipantau makin bertambah jika mereka mempunyai lebih seorang anak. 

Katanya, sebagai guru dia perlu menyemak semua kerja rumah yang dihantar oleh murid dan dalam masa sama membantu anaknya sendiri menyiapkan kerja rumah dalam talian yang diberikan. 

“Dah kalau budak tak boleh, nak hantar apa? Lantak situlah. Ada ke cikgu dia mengajar semua benda ni? Cikgu dia pun tak ajar kan? Tahu bagi ‘page’ sekian-sekian, suruh buat. Lepas tu minta hantar? hentikanlah. Kita ajar takat mana budak tu boleh. Kita tahu anak kita boleh takat mana. Cukup. 

“Ya tuan-tuan. Ini ayat aku sebagai parent. Memang aku cikgu. Tapi aku tak layan sangat kehendak cikgu yang ‘humban’ kerja berlambak-lambak kat budak. Aku faham sangat, cikgu buat pun sebab disuruh buat macam tu,” katanya lagi. 

Sementara itu, dia menyatakan guru sepatutnya mengajar dahulu subjek yang diperlukan sebelum memberi kerja rumah dalam talian kepada murid bagi memudahkan mereka menyiapkan tugas tersebut. 

Mengakui hakikat bahawa PdPR yang diperkenalkan kementerian sebenarnya gagal kerana cuma mampu melonggokkan kerja rumah tanpa disusuli sesi pengajaran. 

Malah, Khairul berkata ada antara guru yang membuat senarai nama murid yang tidak menghantar kerja rumah dalam ‘group WhatsApp’. 

Khairul memberitahu tindakan itu hanya menyenangkan sebelah pihak, kerana yang terpaksa mengajar dan memantau anak-anak menyiapkan kerja sekolah adalah ibu bapa. 

“Beri tugasan sekadar berpada. Jangan bagi kerja serupa macam sekolah jalan macam biasa. Siap berlebih pula. 

“Waktu sekolah macam biasa, kerja memang sebanyak itu ke? Fikirlah,” ujarnya lagi. 

Hantaran tersebut menerima tumpuan ramai pihak yang bersetuju dengan pendapat yang diutarakan oleh Khairul Kamilin. 

Semakan terkini Malaysiapost mendapati hantaran itu mendapat 10,000 tanda suka dan telah dikongsi 15,000 akaun FB lain. 

KPM dalam kenyataan memaklumkan semua murid sekolah rendah dan Tingkatan Satu hingga Empat di kawasan PKP akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mulai 20 Januari ini. 

Ketetapan itu juga terpakai kepada pelajar Semester 2 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Semester 2 Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 di Kolej Vokasional. 

Kenyataan itu turut menyebut, sesi persekolahan hanya secara bersemuka melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), SVM, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here