Parti Liberal Demokratik (LDP) berhasrat meletakkan calon di kawasan yang mempunyai peratusan pengundi Bumiputera yang lebih tinggi.
Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin berkata ia bagi meluaskan kawasan ditandingi partinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Katanya, langkah itu sejajar dengan hasrat parti itu untuk menjadi kuasa ketiga selepas gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) – Pakatan Harapan (PH).
“Kami bebas..kami tidak menyertai Barisan Nasional (BN) atau sesiapapun.
“Kami akan bertanding di kawasan Kadazan Dusun Murut (KDM) dan malah kawasan kerusi majoriti Bumiputera Islam, selain kerusi Cina,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today (FMT).
Ketika bersama BN sebelum ini, LDP hanya bertanding di empat kerusi tradisi iaitu di Likas (Kota Kinabalu), Tanjung Kapor (Kudat), Karamunting (Batu Sapi) dan Merotai (Kalabakan).
Bagaimanapun, LDP tewas kepada Warisan dan DAP di semua kerusi terbabit selain satu kerusi Parlimen iaitu Sandakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Menurut FMT, parti itu dijangka bertanding sekurang-kurangnya 40 kerusi pada PRN kali ini.
LDP juga dijangka mempertaruhkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat di kerusi yang pernah dipertahankannya sebelum ini iaitu Tanjung Kapor.
Kah Kiat adalah bekas presiden LDP sebelum mengundur diri dan menyerahkan jawatan kepada Datuk Liew Vui Keong pada 2006.
Vui Keong bagaimanapun disingkirkan pada 2014 dan kini menjadi Pengerusi Tetap Warisan selepas menyertai parti itu pada 2018.

