KKM tunggu keputusan saringan pelajar, kontak rapat dikenal pasti

0
2

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menunggu keputusan ujian seorang pelajar Tingkatan Lima di sebuah sekolah di Seri Pantai, Kuala Lumpur sama ada positif Covid-19 atau sebaliknya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata KKM telah menerima laporan dari sekolah terbabit mengenai satu kes bergejala yang melibatkan seorang pelajar.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut protokol KKM, di mana sebarang kes yang dilaporkan disiasat terlebih dahulu dan tindakan selanjutnya seperti pengesanan kes akan dijalankan jika perlu.

“Hasil siasatan mendapati pelajar tersebut mengalami gejala muntah dan cirit-birit pada 9 Ogos dan keesokannya dibawa ke sebuah klinik swasta untuk mendapatkan rawatan.

“Seterusnya dipindahkan ke pusat perubatan bagi rawatan lanjut di mana beliau telah disaring untuk demam denggi dan juga jangkitan Covid-19.

“Keputusan saringan denggi didapati positif namun pengesahan ujian Covid-19 sedang dijalankan di makmal bagi memastikan tiada tindak balas silang semasa ujian yang mungkin boleh berlaku,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sementara menunggu pengesahan ujian makmal tersebut, KKM telah memulakan aktiviti awal pengesanan kes secara aktif iaitu tindakan proaktif biasa di lapangan bagi mencegah risiko penularan jangkitan.

Setakat ini, katanya, 34 pelajar dan lapan guru dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pelajar tersebut.

“Daripada jumlah tersebut seramai 28 orang telah disaring dan 14 lagi diberi arahan hadir ke klinik kesihatan untuk persampelan.

“Semua individu yang disaring ini diberi arahan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebagai langkah pencegahan.

“Selain itu, proses nyah cemar dan nyah kuman telah dijalankan di lokasi yang telah dikenalpasti,” katanya.

Beliau berkata pemantauan ke atas kes bergejala itu dan semua kontak rapat akan terus dipantau.