EMPAT pejabat Exco Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu ditutup 14 hari bermula semalam hingga 30 Januari ini susulan lima kes positif Covid-19 dilaporkan di bangunan pentadbiran kerajaan negeri itu.
Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus, berkata penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan dalam usaha mengekang penularan wabak tersebut di kawasan berkenaan.
Penutupan itu melibatkan Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan Dakwah dan Penerangan; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar; serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi.
“Penutupan itu perlu dilakukan kerana terdapat lima kes positif Covid-19 dalam kalangan pekerja Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di Wisma Darul Iman baru-baru ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati kes-kes positif itu berpunca daripada pergaulan rapat antara pekerja di pejabat empat Exco tersebut.
Beliau berkata, penutupan sementara itu dijalankan mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak penularan penyakit berjangkit dan membolehkan proses disinfeksi serta sanitasi dijalankan. – Malaysiapost

