KERAJAAN Perak mengarahkan semua kerja termasuk aktiviti kuari di kawasan Air Terjun Tanjung Batu Teluk Sera, Segari di Pantai Remis, Beruas dihentikan sementara.
Arahan itu dikeluarkan sementara menunggu hasil siasatan terhadap dakwaan berlaku kerosakan di kawasan air terjun terletak di Hutan Simpan Segari Melintang, Pantai Remis yang berstatus Hutan Simpanan Kekal.
Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Seitar (JAS) untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan tersebut.
Beliau juga meminta Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) menyediakan laporan terperinci mengenai aktiviti kuari didakwa menjadi punca kerosakan di kawasan berkenaan,” katanya menerusi kenyataan di Ipoh hari ini.
Artikel Berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/01/16/air-terjun-tanjung-batu-di-manjung-hilang-selamanya/
Kelmarin, Malaysiapost melaporkan air terjun terbesar yang terakhir di daerah Manjung itu berkemungkinan hanya akan tinggal kenangan dan bakal hilang selamanya.
Persoalan dibangkitkan Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) yang melaporkan kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Teluk Sera yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung, telah pun musnah akibat projek pembalakan.
Ia didakwa ditebang habis bagi tujuan perlombongan kuari batu di kawasan berhampiran lokasi tersebut.
KUASA mendakwa pada 2016 hingga 2017, lesen / permit penggunaan telah diluluskan bagi membuka kawasan kuari batu di situ dan tentunya sebelum pembukaan kuari, aktiviti penebangan secara habis perlu dijalankan.
Sementara itu, Bernama melaporkan Pengarah Jabatan Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata tindakan akan diambil ke atas kontraktor terlibat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 jika terbukti berlaku pelanggaran syarat lesen bagi aktiviti kuari di kawasan air terjun berkenaan.
“Kontraktor juga telah diarah melakukan kerja-kerja pembersihan dengan segera. Hujan lebat menghanyutkan sisa-sisa kayu daripada aktiviti kuari ke dalam sungai sehingga menyebabkannya kotor,” katanya.
Mohamed Zin berkata beliau masih menunggu laporan daripada Pejabat Hutan Daerah bagi mengenal pasti tahap serius kerosakan kawasan air terjun tersebut. – Malaysiapost

