KERAJAAN diminta membenarkan sektor perniagaan beroperasi selepas jam 8 malam ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Gesaan itu dibuat 21 Ahli Parlimen pembangkang yang turut meminta agar prosedur operasi standard (SOP) mengenainya dikaji semula.
Ahli-ahli parlimen berkenaan dalam satu kenyataan media bersama hari ini, menggesa kerajaan membenarkan semua kedai makanan dan minuman beroperasi seperti yang tercatat dalam lesen perniagaan mereka dan tidak terhad sehingga 8 malam.
“Ini memandangkan makan di kedai tidak dibenarkan dan penjualan makanan adalah secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran ke rumah.
“Masa operasi kedai makanan dan minuman seperti sekarang telah menyusahkan mereka yang perlu membeli makanan selepas tamat waktu bekerja,” menurut kenyataan itu.
Menurut mereka, tindakan membenarkan para peniaga beroperasi mengikut lesen perniagaan akan membantu memulihkan ekonomi peniaga, menjana pendapatan penghantar makanan serta menggalakkan rakyat duduk di rumah kerana mereka boleh membuat pesanan dari rumah dan tidak terhad sehingga 8 malam sahaja.
“Kami menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) segera memperbaiki SOP ini kerana ia memberi kesan kepada peniaga yang hanya bergantung kepada pendapatan harian mereka.
“Kami juga menggesa kerajaan melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi,” katanya.
Menurut ahli-ahli parlimen berkenaan, berbanding semasa PKP fasa pertama, peniaga mungkin lebih teruk terjejas kali ini kerana mereka terpaksa menanggung pembayaran sewa kedai dan gaji pekerja tanpa adanya moratorium seperti sebelum ini. – Malaysiapost

