‘Sepatutnya hari ini saya nikah’

0
2

Nurul Huda Abhar

SEORANG anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) tular apabila gambarnya memegang kertas yang bertulis ‘Sepatutnya hari ini saya nikah 17.1.2021’ mencuri tumpuan warganet.

Gambar petugas barisan hadapan tersebut dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook (FB), Mohd Ridzuan Baharudin, hari ini.

“Aku tumpang bersedih. Ya hari ini sepatutnya hari pernikahannya. (Gambar original).

“Dia adalah adik sepupuku dan sepatutnya kami meraikan detik hari bersejarahnya hari ini tidak kira jauh pun dekat. Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 beliau terpaksa menangguh pernikahannya.

“Tabik spring tuan. Pengorbanan yang akan disanjung tinggi,” katanya yang turut memuat naik kad jemputan perkahwinan pasangan itu.

Gambar tersebut mendapat tumpuan ramai yang rata-rata tersentuh dengan pengorbanan yang dilakukan petugas barisan hadapan dalam usaha memerangi wabak Covid-19.

Malah, gambar itu turut dikongsi oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di FB miliknya hari ini.

“Anggota keselamatan, Ahmad Zaim Nasreen Musa sepatutnya meraikan hari bahagia beliau dengan pasangannya, Mas Ayuvita Azizul di Felda Palong 8, Gemas, Negeri Sembilan hari ini 17 Jan 2021.

“Namun demi tanggungjawab kepada negara, Ahmad Zaim menangguhkan hari bahagianya. Satu pengorbanan yang amat besar.

“Hargailah jasa dan pengorbanan petugas barisan hadapan negara kita,” tulis Ka Siong.

Bermula 13 Januari hingga 26 Januari, semua aktiviti majlis sosial dan keramaian termasuk majlis perkahwinan, pertunangan serta resepsi tidak dibenarkan di negeri yang terlibat dengan pelaksanaan PKP.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan majlis sosial seperti kenduri-kendara, majlis akikah, doa selamat, tahlil dan sambutan ulang tahun serta hari lahir turut dilarang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here