PRK Slim: Pemangku Ketua Umno Tanjung Malim dipilih calon BN

0
2

Nilam Oshman

Pemangku Ketua Umno Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, 29 Ogos ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad dalam sidang media di Dewan Rajawali Felda Residence, Trolak, hari ini.

Mohd Zaidi, 43, berkelulusan Ijazah Pengetahuan Islam dan Sains Manusia dari Universiti Islam Antarabangsa.

Beliau seterusnya mengucapkan ribuan terima kasih kepada pucuk pimpinan kerana memilihnya untuk mewakili BN pada PRK berkenaan.

“Akhirnya terungkai persoalan selama ini, saya mohon kepada semua agar kita bersama-sama mengembleng tenaga dan berusaha membantu bagi menjayakan PRK kali ini,” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata pimpinan tertinggi Umno telah meneliti dan membuat penilaian serta pertimbangan sewajarnya atas beberapa nama untuk diangkat sebagai calon BN.

“Kesemuanya adalah tokoh-tokoh yang berkelayakan dan berkaliber, hanya seorang antara mereka dipilih,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 29 Ogos ini sebagai tarikh PRK DUN Slim, manakala 15 Ogos ditetapkan tarikh penamaan calon dan 25 Ogos tarikh mengundi awal.

Kerusi berkenaan kosong susulan kematian penyandang, Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib dari BN, 15 Julai lalu.